Caliph Buskers semakin kukuh
Hanya
NamaMu single baharu bagi meneruskan perjuangan seni
SEJAK nama Caliph Buskers menjadi
perhatian selepas memukau penonton dengan persembahan hebat di Anugerah Juara
Lagu ke-29 (AJL29) Januari lalu, timbul pula suara yang mendakwa anggota
kumpulan tersebut sudah mula meminta bayaran tinggi.
Pada hal sebelum Edry Abd. Halim
yang merupakan salah seorang anggota kumpulan Mojo mempelawa mereka
mendendangkan lagu Roman Cinta untuk AJL29, anggota Caliph Buskers iaitu Azmi
Saat, 28, selaku vokalis, Mohd. Zaki Ismail, 36, (gitaris), Nirwan Zainal
Abidin, 26, (gitaris), Fendy Abdullah, 24, (pemain dram) dan Nor Nadira Rubina,
24, (shaker), hanyalah pemuzik jalanan.
Apabila timbulnya prasangka begitu,
tidak dinafikan nama Caliph Buskers yang baru mencuba menjadi artis arus
perdana sedikit tercalar. Bagi menangkis dakwaan itu, Azmi yang hadir bersama
rakan-rakan lain ke Studio Utusan baru-baru ini menjelaskan sebab musababnya
kenapa sebelum popular, Caliph Busker kenakan bayaran RM1,000, selepas AJL29
bayaran yang dikenakan adalah RM2,000.
Jelas Azmi, memang benar, mereka ada
mengenakan bayaran lebih sedikit daripada biasa, namun ia setimpal dengan
kualiti persembahan yang diberi dan bukan mereka sengaja bersikap hidung
tinggi.
“Kami akui telah naikkan harga
bayaran, tapi tidaklah setinggi dakwaan yang pernah kami dengar sebelum ini. Ia
masih lagi di tahap berpatutan.
“Kami perlu mengambil kira tentang
kos yang dikeluarkan oleh kami untuk bayar kru, pengangkutan dan alat muzik.
Sebelum ini jika buat persembahan di jalanan, kami hanya gunakan teksi sahaja
sebab semua alatan muzik disediakan oleh kami sendiri.
“Tapi bila diberikan tawaran buat
persembahan di majlis korporat dan sebagainya, kami perlukan ruang yang lebih
besar untuk mengangkat alatan muzik dan semua anggota Caliph Buskers dapat ke
lokasi persembahan dengan keadaan selesa serta tampil dengan persembahan yang
berkualiti,” kata Azmi yang masih lagi menerima undangan menyanyi di majlis
perkahwinan dengan kadar yang berpatutan.
Sementara itu, Caliph Buskers yang
terlebih dahulu mencipta nama dengan menyanyi di jalanan di sekitar ibu kota,
turut mengaku kini mereka jarang dapat mengadakan persembahan seperti biasa
ekoran kekangan masa selain memenuhi undangan nyanyian di majlis lain.
“Tipu lah kalau kami kata tak rindu
untuk nyanyi di tempat lama. Tapi sebaik sahaja AJL29 tamat, kami hanya dapat
menyanyi di jalanan untuk dua atau tiga kali sahaja.
“Jadual kami sudah terlalu penuh
dengan undangan menyanyi di majlis-majlis rasmi, kenduri kahwin dan sebagainya.
Menyanyi di jalanan tak sama seperti menyanyi di atas pentas sebab kalau di
atas pentas lagu sudah ditetapkan lebih awal.
“Berbeza dengan menyanyi di jalanan
di mana kita boleh menyanyi suka-suka. Itulah benda yang kami semua rindukan,
tapi tidaklah bermaksud kami sudah lupakan untuk hiburkan peminat di jalanan
lagi, memang kami akan ke lokasi biasa di sekitar Kuala Lumpur jika ada
kelapangan masa,” kata Fendi
.
Tampil single pertama
Dalam kesibukan memenuhi undangan
persembahan, Caliph Buskers masih sempat merakam lagu sebagai kesinambungan
mereka dalam bidang seni suara.
“Lagu Hanya NamaMu ini siap dirakam
pada bulan Mac lalu di studio KRU. Memang tak dapat nak digambarkan dengan
kata-kata tentang perasaan kami selepas berpeluang rakamkan lagu sendiri.
“Kami semua berpuas hati dengan lagu
ini biarpun di awalnya agak sukar nak bawa lagu tersebut. Dari segi vokal dan
muzik, memang agak mencabar jugalah.
“Tapi, alhamdulillah segala-galanya
selesai dengan baik dan kami semua bersyukur sebab diberi peluang oleh pihak
KRU untuk ada single sendiri,” kata Azmi selaku ketua kumpulan.
Bercerita lanjut tentang lagu Hanya
NamaMu, kata Azmi, mereka memilih untuk menyanyikan lagu berkonsepkan ketuhanan
sebagai satu permulaan buat mereka mencuba nasib dalam mengkomersialkan diri
mereka dalam arus muzik tanah air.
“Kami sendiri telah meminta Edry
buat lagu berunsur ketuhanan. Biarlah buat permulaan ini kami cuba dengan
konsep ini sebagai salah satu tanda syukur kepada Allah kerana memberikan kami
rezeki.
“Kami sudah mempromosikan lagu
tersebut di seluruh radio tempatan dan hasilnya alhamdulillah cukup positif
dari peminat kami. Di samping kami menyanyikan lagu sebagai hiburan, ia secara
tak langsung dapat beri mesej yang baik kepada pendengar,” jelas Azmi sambil
menambah mereka turut merakamkan video klip bagi lagu tersebut.
Tambah Fendi pula, tidak pernah
terlintas di fikiran mereka untuk mendendangkan lagu sendiri kerana sebelum ini
mereka hanya menyanyikan lagu orang lain tatkala menerima sebarang undangan
nyanyian.
“Setiap kali kalau kami terima
sebarang undangan nyanyian, kami akan nyanyi lagu orang sahaja. Bila ada
peluang rakam lagu dalam studio, rasanya macam penyanyi profesional tanah air.
“Bila dapat jejakkan kaki dalam
studio, tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan yang tidak pernah diimpikan
selama ini.
“Jujur kami katakan yang selama ini
kami tak pernah terfikir langsung nak ada lagu sendiri. Inilah yang dinamakan
rezeki,” kata Fendi.
Artikel - Utusan Malaysia
**********************************************************************
Caliph Buskers - Hanya NamaMu
Hanya namaMu ku puji ku sanjungDi lafaz pertama suara azan fajar
Langkah kananku seperti dilindung
Andainya tersandung rebahku bersujud
Dan hanya namaMu ku puji ku sanjung
Adakalanya linang air mata
Tertumpah ke pipi menerima takdir
Namun imanku tidak akan runtuh
Ku ambil ikhtiar berdiri semula
Dan hanya namaMu ku puji ku sanjung
Di akhir perjalanan ini
Yang mencari petunjukMu
Ku doa agar kehadiran disambut
Semoga namaku terdiri
Di antara yang terpilih
Menjadi tetamu di tamanMu nanti
Setiap masa tak pernah ku lupa
Sinar yang Kau beri dalam hidup ini
Bila tibanya nyawaku di dunia
Kau panggil kembali dengan nafas akhir
Hanyalah namaMu ku puji ku sanjung
Di akhir perjalanan ini
Yang mencari petunjukMu
Ku doa agar kehadiran disambut
Semoga namaku terdiri
Di antara yang terpilih
Menjadi tetamu di tamanMu nanti
Menjadi tetamu di tamanMu nanti
****************************************************************************
Caliph Buskers semakin kukuh
Hanya NamaMu single baharu bagi meneruskan perjuangan seni
17 April 2015 12:38 PM



No comments:
Post a Comment