Tuesday 6 October 2015

Awie tak mahu berpisah lagi



Silih berganti anggota dan pergaduhan yang akhirnya menyebabkan Wings kehilangan vokalis utamanya antara ranjau perjalanan kumpulan rock itu selama 30 tahun. 

Malah, pada majlis meraikan ulang tahun Wings yang ke 30 tahun di hotel Swiss Garden baru-baru ini membuatkan vokalisnya, Awie merasa sebak tika berkongsi kisah perjalanan Wings.

“Perpisahan saya bersama anggota Wings selama lapan tahun sebenarnya sesuatu yang sukar untuk digambarkan apatah lagi hubungan kami sebelum itu sangat rapat.

 “Malah, saya sebak bila bercerita mengenai persahabatan kami kerana kami lebih kerap berjumpa daripada adik-beradik sendiri. 

“Kami selalu berjumpa, tinggal pun serumah, namun akhirnya terpisah. Lagipun, waktu itu darah muda, persahabatan itu terputus sehingga kami tidak bertegur sapa,” jelasnya.

 Malah, Awie turut berkongsi perasaannya ketika bergelar artis solo tidak sama seperti bersama dengan anggota Wings. 

Ketika ini, jelas Awie tidak timbul isu siapa perlukan siapa kerana dia pernah bergerak solo dan merasakan betapa kosongnya diri ketika membuat persembahan di atas pentas.

 “Bila berkumpulan, kekuatan kita jadi lain, aura persembahan dan semangat dalam muzik itu lain.

Itu yang saya cari sebenarnya,” katanya. Mengimbas kembali detik perpisahan itu, jelas Awie, semuanya berlaku selepas mereka menjayakan konsert Double Trouble yang turut melibatkan kumpulan Search pada tahun 1993.

 Selepas konsert itu, berlaku perselisihan faham antara kumpulan yang disifatkannya kini sebagai satu perbuatan yang tidak matang sekali gus menyebabkan dia keluar daripada Wings. 

Namun, selepas lapan tahun tidak bertegur sapa jelas Awie, mereka ditakdirkan bertemu semula ketika perkahwinan di antara komposer dan penyanyi Datuk M. Nasir bersama Datin Marlia Musa.

 “Detik itu adalah kali pertama kami bertemu semula selepas terpisah lapan tahun. Itu satu pertemuan yang saya sifatkan sangat dramatik.

 “Semasa pertemuan itu, kami bersembang semula dan bercerita mengenai kenangan lama dan itu yang buat kami tersentuh,” jelasnya.

 Seperkara yang menarik ialah bagaimana Awie menyifatkan Wings ini adalah satu perkahwinan dan perpisahan antara dia dan Wings lebih perit berbanding berpisah dengan isteri.

 “Dalam Wings, kalau kami tidak mengharapkan satu sama lain, memang akan pincang. Itu yang perpisahan itu sangat perit bagi saya.

 “Mereka ini yang mencari rezeki dan menentukan keselesaan isteri mereka. Jika Wings tenggelam, ia memberi kesan pada semua anggota dan ahli keluarga,” jelasnya. 

Bagi Awie, dia sememangnya takut dengan apa yang telah berlaku dan sehingga kini, hala tuju Wings sama ada akan terus bersama atau tidak masih menjadi tanda soal dalam diri.

 Tetapi baginya, dia sentiasa berdoa supaya persahabatan mereka terus kekal dan tidak mahu perkara sama berulang.

“Saya sebenarnya sudah berjanji dalam diri, selepas kembali kepada Wings, saya tidak mahu lagi bergaduh. 

Jika saya marah sekalipun, saya akan diam dan mereka semua tahulah ketika itu saya marah,” katanya. 

Konsert ulang tahun Mengulas mengenai konsert ulang tahun Wings yang akan diadakan pada 31 Oktober ini, jelas Awie, sebanyak 30 buah lagu akan didendangkan sebagai mengenang 30 tahun perjalanan Wings dalam industri.

“Sebenarnya, kita mahu menjadikan hari konsert itu sebagai sebuah festival khusus untuk mengenang kumpulan Wings.

 “Pukul 2 petang, di luar stadium akan diadakan persembahan daripada buskers dan pemuzik baharu yang akan menyanyi lagu-lagu Wings.

“Jadi, lagu Wings akan mula didengar sejak pukul 2 petang lagi sehinggalah kemuncak konsert pada malam tersebut,” jelasnya. 

Menurut Awie, kelab motosikal berkuasa tinggi akan turut serta dalam konsert tersebut yang akan memenuhi ruang balapan lokasi konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. 

“Kita akan adakan sebuah konsert yang sangat hebat dan akan ada juga artis jemputan yang akan menyanyikan lagu-lagu Wings. 

“Sepanjang konsert akan ada segmen tertentu yang akan membuai semua peminat-peminat Wings. 

Malah, bekas anggota Wings juga akan turut serta dalam konsert nanti,” jelasnya. 

Tiket dijual dengan harga bermula RM85 hingga RM285. Tiket berharga RM48 khas bagi pelajar tertakluk pada terma dan syarat. 

Orang ramai juga boleh membeli secara dalam talian menerusi www.tickethotline.com.my -utusan online

No comments:

Post a Comment